Cadang bina lebuh raya Seremban - Temerloh

 


BANDAR SERI JEMPOL: Pembinaan lebuh raya dari Seremban ke Temerloh, Pahang, menjadi antara cadangan dalam Draf Rancangan Tempatan daerah Jempol 2030.

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, berkata pembinaan lebuh raya itu akan mempunyai beberapa susur keluar, termasuk ke daerah itu. Katanya, pembinaan lebuh raya itu akan membantu menjimatkan masa perjalanan dari daerah ini ke Seremban, sekali gus dapat mempromosikan produk pelancongan dan ekonomi penduduk setempat.

 "Kerajaan negeri tiada masalah untuk meluluskan pembinaan ini, tetapi itu adalah lebuh raya bertol yang akan dibina oleh syarikat swasta," katanya selepas merasmikan Draf Rancangan Tempatan daerah Jempol 2030 di Dewan Majlis Daerah Jempol (MDJL) di sini, hari ini.

 Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) negeri, Hasnan Iberahim dan Pegawai Daerah Jempol, Zazali Salehudin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting itu berkata, draf rancangan itu bertujuan memaklumkan kepada orang ramai mengenai rancangan pembangunan daerah itu sehingga 2030. Katanya, cadangan lain termasuk usaha memperkukuh dan membangunkan semula sektor industri kecil dan sederhana seramik serta batu bata.

 "Selain itu, untuk memperkukuhkan imej dan identiti daerah ini serta menarik ramai pelancong, kita turut merancang membina Muzium Agropolitan, taman tema air dan Kompleks Sejarah Jalan Penarikan," katanya. Orang ramai boleh memberi maklum balas mengenai draf rancangan itu menggunakan borang atau secara dalam talian menerusi laman sesawang MDJL http://mdjl.gov.my sehingga 18 Disember ini.

Credit. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/351455/cadang-bina-lebuh-raya-seremban-temerloh 
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment