03 April 2014

Rumah PR1MA Seremban Sentral dikurangkan

  03 April 2014
SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata hanya 3,000 unit rumah akan dibina dalam projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Seremban Sentral di sini, berbanding perancangan asal sebanyak 5,000 unit.
   
Beliau berkata kerajaan negeri telah meminta pemaju projek berkenaan supaya mengkaji dan mengubah suai pelan projek dengan mengambil kira keadaan kemasyarakatan di situ.
    
"Langkah ini diambil kerana tidak mahu mewujudkan kawasan sesak dan padat di kawasan tersebut.
    
"Kita sudah bawa perkara ini ke mesyuarat Perancangan Bandar. Kita minta supaya perkara ini dikaji dan diubah suai pelan projek itu supaya jumlah rumah tidak terlalu banyak jika dibandingkan dengan kawasan yang kecil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Projek PR1MA Seremban Sentral ini terletak di presint Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban yang sedia ada dengan keluasan melebihi 29 hektar dengan nilaian pembangunan kasar sebanyak RM2.5 bilion.

Apabila siap kelak pada pertengahan tahun 2016, ia akan mempunyai kemudahan kereta api, perkhidmatan bas, pejabat komersial, pusat membeli belah, runcit, kesihatan, institusi pendidikan, taman serta hotel sesuai dengan konsep Taman Sentral dan Dataran Warisan yang diperkenalkan di situ.

PR1MA Seremban Sentral merupakan kerjasama awam-swasta antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Railway Assets Corporation (RAC), KTMB, kerajaan negeri serta pemaju swasta, Brunsfield Group.
    
Mengenai kesan sektor pelancongan di Negeri Sembilan berikutan peristiwa kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370, beliau berkata pada masa ini kesannya belum dapat dirasai.
    
"Boleh jadi kesannya akan dapat dirasai dalam tempoh tiga atau enam bulan lagi," katanya.
   
Mohamad berkata beliau yakin orang ramai lebih rasional dalam menilai rekod prestasi syarikat penerbangan dan juga dasar terbuka yang diamalkan kerajaan Malaysia.
    
"Cumanya malangnya, tragedi MH370 ini dimanipulasi pihak yang mengambil kesempatan untuk memburukkan kerajaan kita. Tambah malang, mereka yang cuba menghasut dan menggambarkan keburukkan kerajaan Malaysia ini adalah rakyat kita sendiri.
    
"Itu satu perkara yang tidak amat baik dan saya kesal dengannya. Sepatutnya dalam keadaan susah ini, rakyat Malaysia bersatu padu dan bersama-sama kerajaan terutama dalam meringankan beban yang ditanggung anggota keluarga," katanya. - Bernama

logoblog

Thanks for reading Rumah PR1MA Seremban Sentral dikurangkan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment