37 peratus bayar hutang SBR di Negeri Sembilan.

 


SEREMBAN 14 Jun – Hanya 37 peratus daripada 626 peminjam Skim Bazar Ramadan (SBR) di negeri ini, tahun lalu telah menjelaskan hutang mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza menyifatkan masalah itu sebagai memalukan kerana ia telah menyebabkan negeri ini disenaraikan sebagai paling rendah menerima bayaran balik untuk skim tersebut.

Beliau berkata, masalah itu amat mengecewakan memandangkan semua penjaja dan peniaga kecil yang menerima pinjaman SBR telah diberi masa mencukupi untuk menjelaskan pinjaman berkenaan.
“Masalah ini memalukan kerana tahun lepas, negeri kita paling corot sekali bayar pinjaman. Kita telah senarai hitam penerima yang tidak bayar pinjaman itu dan tidak akan luluskan permohonan baharu daripada mereka selagi tidak jelaskan hutang lama.

“Semua pemilihan untuk tahun ini dibuat melalui persatuan untuk memudahkan kita mengesan mereka yang liat menjelaskan pinjaman,” katanya selepas Majlis Penyerahan Pinjaman SBR peringkat negeri, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Mohd Salleh Ma’amor dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia nege­ri, Zakaria Mat Jusoh.

Abu Ubaidah menarik perhatian, untuk bulan Ramadan tahun ini, seramai 868 pemohon SBR telah diluluskan pinjaman mereka dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.7 juta.
Katanya, peningkatan bilangan peminjam itu menunjukkan skim itu semakin mendapat sambutan di kalangan para penjaja dan peniaga kecil di negeri ini.

Tambahnya, kerajaan berharap setiap peminjam dapat menggunakan duit berkenaan untuk aktiviti perniagaan masing-masing dan menjana pulangan yang sewajarnya.


ABU UBAIDAH REDZA (empat dari kiri) bersama Mohd. Salleh Maamor (tiga dari kiri) dan Zakaria Mat Jusoh (dua dari kanan) dan wakil-wakil cawangan Bank Rakyat di seluruh Negeri Sembilan selepas Majlis Penyerahan Pinjaman Skim Bazar Ramadan peringkat negeri, di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini

“Jumlah maksimum pinjaman yang diberikan adalah RM3,000 dan saya harap mereka dapat memanfaatkannya dengan baik serta berusaha menjelaskan bayaran balik bagi membolehkan orang lain meminjam pada tahun akan datang,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/37-peratus-bayar-hutang-sbr-1.102976#sthash.tiITWDvI.dpuf
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment