Tiga lelaki terbabit dalam pergaduhan ditangkap

 


Seremban: Akibat menimbulkan kekecohan dalam bantahan aman berhubung pembahagian tapak Bazar Ramadan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, kelmarin, tiga lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mereka yang ditahan berusia antara 36 dan 71 tahun dipercayai mencetuskan pergaduhan ketika bantahan secara aman itu.

Menurutnya, kejadian jam 2.30 petang itu tercetus sejurus Persatuan Penjaja Uptown Dataran Senawang (PUDS) mengadakan bantahan aman di dewan itu berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan MPS membahagikan tapak perniagaan di kawasan itu kepada peniaga Bazar Ramadan.

Katanya, bantahan yang disusuli sidang media itu bertukar kecoh apabila sekumpulan individu menyerbu Pengerusi PUDS Mejar (B) Razali Zakaria yang didakwa memberi keterangan tidak benar mengenai pembahagian tapak berkenaan.

“Kumpulan terbabit dikatakan berang dengan tindakan persatuan menganjurkan bantahan aman itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah.

“Kemuncak kekecohan berakhir apabila berlaku tumbuk menumbuk membabitkan wakil PUDS dan individu daripada kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu, ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Razali turut membuat laporan di Balai Polis Rahang di sini, selepas kejadian itu.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Perpaduan Ummah Malaysia (PRIMA) Seremban Mohd Yusof Mohammad Din, 73, berkata, pihaknya yang mewakili kumpulan terbabit kecewa dengan piket dianjurkan PUDS.

Beliau berkata, bantahan dibuat PUDS seolah-olah mempertikaikan keputusan MPS yang berlaku adil dengan membahagikan tapak Bazar Ramadan kepada 360 peniaga.
“Pemilihan 360 peniaga bukan mewakili satu persatuan, sebaliknya sembilan persatuan dengan setiap persatuan memiliki 40 lot niaga,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57263#sthash.xiHOoqzA.dpuf
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment