13 March 2016

Pembakaran terbuka di N9 meningkat 1,000 peratus

  13 March 2016


SEREMBAN - Pembakaran terbuka di negeri ini mencatatkan peningkatan lebih kurang 1,000 peratus sejak awal Februari lalu, akibat kesan fenomena El Nino.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima tidak kurang 30 panggilan sehari berbanding sekitar tiga panggilan pada bulan sebelumnya.

"Pembakaran terbuka melibatkan semak, lalang, hutan dan belukar. Cuaca panas yang semakin meningkat merupakan salah satu faktor api cepat merebak.

"Ada juga kebakaran disebabkan oleh puntung rokok serta bahan buangan yang menghasilkan haba seperti serpihan kaca. Kita boleh lihat situasi sebegini di tepi lebuh raya," katanya.

Sebagai persediaan, katanya, beberapa strategi diatur misalnya menempatkan jentera menyimpan air berkapasiti 10,000 dan 20,000 liter di lokasi tertentu untuk digunakan ketika memadam kebakaran.

"Kita tempatkan tangki air di Nilai, Seremban 2, Rembau, Seremban, Simpang Pertang dan Gemas. Jadi, balai bomba bertanggungjawab memberi bantuan mempunyai bekalan air yang banyak.

"Selain itu, kita sudah menyusun cuti anggota bagi menghadapi cuaca panas berpanjangan. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil cuti, kecuali atas keperluan mendesak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Mukim Pantai dan Penyerahan Geran Pasukan Bomba Sukarela Negeri Sembilan yang disempurnakan Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza di Padang Rumah Rakyat Batu 8, Pantai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Mukim Pantai, Roslan Abd Jalil serta Penghulu Mukim Pantai dan Lenggeng, Tarmizi Selamat. -- http://www.sinarharian.com.my/semasa/pembakaran-terbuka-di-n9-meningkat-1-000-peratus-1.496700
logoblog

Thanks for reading Pembakaran terbuka di N9 meningkat 1,000 peratus

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment