25 July 2016

HSR ubah landskap pembangunan N.Sembilan

  25 July 2016


SEREMBAN 24 Julai – Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura yang dijadualkan beroperasi pada 2026 bakal me­ngubah landskap pembangunan di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan adanya rangkaian pengangkutan awam yang canggih dan komprehensif secara tidak langsung menjadikan negeri ini sebagai hab Greater KL yang moden dan canggih.
“Projek kereta api laju HSR itu adalah antara projek yang dirancang oleh kerajaan untuk melengkapkan kemudahan infrastruktur pengangkutan awam yang memberi manfaat kepada orang ramai.

“Justeru, ia akan memberi kemudahan kepada orang awam khususnya di sektor perkhidmatan dan pelancongan kerana pelancong dari Singapura cuma mengambil masa kira-kira 60 minit untuk sampai ke Negeri Sembilan,” katanya di sini baru-baru ini.

Malaysia dan Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek HSR bagi membina landasan sejauh 350 kilometer yang menelan kos antara RM50 hingga RM60 bilion menghubungkan Kuala Lumpur dan Jurong East, Singapura.

Ia bakal mempunyai lima transit iaitu Seremban (Negeri Sembilan); Ayer Keroh (Melaka) dan Muar, Batu Pahat serta Iskandar Puteri (Johor).
Menurut Mohamad, projek berkenaan juga secara tidak langsung akan menyambung semula perkhdimatan kereta api dari Seremban ke Port Dickson.

“Kerajaan nege­ri amat berterima ka­sih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju untuk mengadakan satu stesen hentian di Negeri Sembilan.

“Kita juga berharap sistem MRT (Transit Aliran Massa) yang sudah sampai ke Kajang, Selangor dapat disambungkan hingga ke Seremban sebagai pelengkap kepada perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini,” ujar­nya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/hsr-ubah-landskap-pembangunan-n-sembilan-1.361905#sthash.Bj0Qn56D.dpuf
logoblog

Thanks for reading HSR ubah landskap pembangunan N.Sembilan

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment