8 Mei 2020
𝗧𝗔𝗧𝗔𝗖𝗔𝗥𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗧𝗨𝗥𝗔𝗡-𝗣𝗘𝗥𝗔𝗧𝗨𝗥𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗖𝗘𝗚𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗪𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗬𝗔𝗞𝗜𝗧 𝗕𝗘𝗥𝗝𝗔𝗡𝗚𝗞𝗜𝗧 (𝗟𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗛-𝗟𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗛 𝗗𝗜 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗞𝗔𝗪𝗔𝗦𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗠𝗣𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗝𝗔𝗡𝗚𝗞𝗜𝗧𝗔𝗡)(𝗡𝗢. 𝟱) 𝟮𝟬𝟮𝟬 (𝗣𝗘𝗥𝗜𝗡𝗧𝗔𝗛 𝗞𝗔𝗪𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗚𝗘𝗥𝗔𝗞𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗬𝗔𝗥𝗔𝗧 (𝗣𝗞𝗣𝗕)) 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗦𝗘𝗠𝗕𝗜𝗟𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗥𝗨𝗟 𝗞𝗛𝗨𝗦𝗨𝗦
1. Kerajaan Negeri Sembilan pada 3 Mei 2020 telah mengeluarkan kenyataan berhubung sektor yang dibenarkan beroperasi dan yang tidak dibenarkan beroperasi berdasarkan keputusan Kerajaan Pusat yang melonggarkan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No. 4) 2020 (Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Keempat (PKP4)) bermula 29 April hingga 12 Mei 2020 sepertimana diumumkan Perdana Menteri mengenai tatacara kawalan serta pengoperasian sektor yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
2. Berdasarkan laporan media pada 4 Mei 2020 yang melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan) menyatakan bahawa Peraturan-Peraturan di bawah PKP4 sebelum ini terbatal mulai 4 Mei 2020 dengan bermulanya kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka Kerajaan Negeri Sembilan perlu mengkaji semula kenyataan yang dibuat pada 3 Mei 2020 itu.
3. Sehubungan dengan itu, berdasarkan PKPB yang membatalkan PKP sebelum ini mulai 4 Mei 2020, hasil daripada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Covid-19 Negeri Sembilan pada 8 Mei 2020, Kerajaan Negeri mengambil ketetapan seperti yang berikut:
a) Sektor yang dibenarkan menurut PKPB sahaja yang boleh beroperasi dengan syarat pematuhan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa;
b) Bagi aktiviti riadah di taman rekreasi awam, diharapkan orang ramai dapat bersabar dalam melakukan aktiviti riadah yang dibenarkan memandangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan kesihatan dan keselamatan orang ramai terjamin;
c) Orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan pandu lalu atau take-away semasa berurusan dengan restoran, kedai makan atau premis makan. Mana-mana pengusaha restoran/kedai makan/premis makan yang membenarkan pelanggan untuk dine-in hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa;
d) Bagi aktiviti sukan atau aktiviti berkaitan yang lain, orang ramai digalakkan terus pulang ke kediaman masing-masing sebaik sahaja selesai melakukan aktiviti tersebut;
e) Operasi sektor yang dibenarkan menurut PKPB dalam kawasan yang mempunyai kes positif COVID-19 atau person under investigation (PUI) yang tinggi seperti beberapa taman perumahan di Sendayan, kawasan di sekitar kluster Pedas, dan kawasan sekitar Pasar Besar Seremban dan Pasar Bahau boleh beroperasi tertakluk kepada nasihat dan arahan pihak berkuasa; dan
f) Pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuklah mengarahkan mana-mana premis perniagaan ditutup operasinya dan membawa kes ke mahkamah terhadap mana-mana individu.
4. Sehubungan dengan itu, diharapkan semua pihak termasuk orang ramai dapat mematuhi SOP yang tetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan penularan dan kebolehjangkitan COVID-19 ini terus dapat dikurangkan dan dihapuskan. Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa memakai face-mask apabila berurusan di luar rumah serta mengamalkan kebersihan tangan dan penjarakan sosial.
5. Kerajaan Negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan semua pihak yang bersama-sama memerangi penularan COVID-19 terutamanya pasukan barisan hadapan (frontliners) dan juga pasukan di belakang tadbir, serta pihak yang telah memberikan sumbangan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk kewangan dan juga peralatan atau makanan sepanjang tempoh PKP ini.
6. Sila rujuk SOP Pembukaan Semua Ekonomi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di pautan berikut: https://www.mkn.gov.my/web/ms/sop-pembukaan-semula-ekonomi/
“𝗕𝗘𝗥𝗦𝗜𝗛. 𝗠𝗨𝗔𝗙𝗔𝗞𝗔𝗧. 𝗦𝗘𝗝𝗔𝗛𝗧𝗘𝗥𝗔.”
𝘿𝙖𝙩𝙤' 𝙎𝙚𝙧𝙞 𝙃𝙖𝙟𝙞 𝘼𝙢𝙞𝙣𝙪𝙙𝙙𝙞𝙣 𝙃𝙖𝙧𝙪𝙣
𝘔𝘦𝘯𝘵𝘦𝘳𝘪 𝘉𝘦𝘴𝘢𝘳 𝘕𝘦𝘨𝘦𝘳𝘪 𝘚𝘦𝘮𝘣𝘪𝘭𝘢𝘯 𝘋𝘢𝘳𝘶𝘭 𝘒𝘩𝘶𝘴𝘶𝘴
8 Mei 2020
No comments:
Post a Comment