Pembangunan Pangkalan Udara Baharu TUDM Di Sendayan Dijangka Siap 2016 dan beroperasi 2017

 
SEREMBAN, 20 Ogos (Bernama) -- Projek pembangunan pangkalan udara baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan dekat sini yang berkeluasan 300 hektar dijangka siap penghujung 2016 dan akan mula beroperasi pada awal 2017.

Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Rodzali Daud berkata pembangunan pangkalan udara itu membolehkan TUDM memperkemas lagi struktur pendidikan dan latihan lanjutan ketenteraan yang profesional, menjurus kepada keperluan bantuan untuk menyokong pengoperasian aset TUDM.

"Pusat latihan di pangkalan baharu ini akan menyediakan platform berserta kemudahan dan peralatan yang moden untuk melengkapkan semua pegawai dan anggota TUDM dengan kemahiran profesional dan teknikal," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di pangkalan udara baharu Sendayan, pada Selasa.

Rodzali berkata mengikut perancangan pangkalan baru itu akan dijadikan pangkalan latihan iktisas bagi melatih pegawai dan anggota TUDM dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan.

Katanya bagi menyelaraskan bentuk pemerintahan dalam bidang pendidikan, TUDM akan memindahkan kedudukan markas pendidikan dan latihan udaranya yang sebelum ini bertapak di pangkalan udara Subang ke pangkalan baharu itu.

"Markas ini merupakan tonggak utama pemerintahan kepada semua pusat-pusat latihan di dalam TUDM," katanya.

Sementara itu, Rodzali berkata selain kuarters keluarga pegawai dan anggota TUDM serta bangunan pentadbiran, pangkalan udara baharu itu akan turut mempunyai padang golf, kawasan rekreasi dan riadah serta kemudahan sukan termasuk stadium mini.

Katanya bangunan di situ berkonsepkan kehijauan dan mesra alam yang mana 30 peratus kawasan itu akan dikekalkan kehijauannya untuk pembangunan masa depan dan disimpan untuk kawasan latihan.

Projek pembangunan pangkalan udara baharu Sendayan adalah sebahagian daripada skop projek perpindahan pangkalan udara Kuala Lumpur (di Sungai Besi) di bawah kelolaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai pemaju projek pembangunan tapak asal pangkalan udara Kuala Lumpur untuk dijadikan Bandar Malaysia.

-- BERNAMA

logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment