Apartment tinggal jadi pusat urut, Rasah Kemayan, Seremban

 



SEREMBAN – Kelihatan dari luar, ia hanya kawasan apartmen tinggal yang tidak berpenghuni namun siapa sangka lokasi yang berhampiran dengan Kelab Golf Taman Tuanku Jaafar (TTJ) di sini dijadikan port buat lelaki gersang melakukan aktiviti tidak bermoral.

Rahsia terbabit terbongkar selepas serbuan dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam ‘Ops Mungkar’ sempena malam sambutan kemerdekaan bermula jam 10 malam hingga 6 pagi semalam.

Ketika serbuan tersebut, dua lelaki beragama Islam berusia lingkungan 20 dan 30-an dalam keadaan separuh bogel dicekup bersama pasangan wanita warga asing di dalam bilik masing-masing di apartmen berkenaan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat enam wanita warga Thailand dan Vietnam di dalam rumah berkenaan dipercayai berperanan menyediakan perkhidmatan ‘tidak bermoral’.

“Berdasarkan siasatan awal, wanita warga asing terbabit menawarkan perkhidmatan urutan dengan bayaran RM100 kepada setiap pelanggan dan jika mahu lebih daripada itu bayaran tambahan akan dikenakan.

“Setiap pelanggan akan diberi satu kad yang membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan secara percuma selepas 10 kali berkunjung ke apartmen tersebut,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati apartmen tiga tingkat tersebut turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan di luar kediaman berkenaan.

Ahmad Zaki berkata, pihaknya mendapati modus operandi digunakan ialah dengan memilih lokasi tersembunyi dan terpencil daripada pandangan masyarakat bagi memudahkan aktiviti tidak bermoral tersebut dijalankan.

“Di dalam setiap bilik disediakan dengan sebuah katil dan kita mengesyaki wanita warga asing itu tinggal di apartmen tersebut.

“Pada serbuan ini kita telah merampas decoder CCTV dan wang tunai RM470 juga kad tawaran perkhidmatan dipercayai diberi kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu katanya, secara keseluruhan tiga lelaki beragama Islam ditahan termasuk seorang lelaki di sebuah pusat urut di sekitar daerah ini.

Kata Ahmad Zaki, mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 61(1) Enakmen Syariah Syariah iaitu cubaan melakukan persetubuhan haram.

“Manakala kesemua wanita warga Thailand dan Vietnam berusia antara 20 hingga 30-an itu dibawa ke bahagian penguatkuasaan JHEAINS untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.--http://www.sinarharian.com.my/
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment