Pembelian Tanah Baru Matrix Concepts Jana RM170 Juta GDV

 

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Matrix Concepts Holdings Bhd menjangkakan tanah yang baru diperoleh untuk menjana sekurang-kurangnya RM170 juta dalam nilai pembangunan kasar (GDV) berbanding tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2015 dan seterusnya.

Pemaju hartanah itu membayar RM71.5 juta, atau RM10 sekaki persegi, bagi tanah perindustrian dengan keluasan 65.6 hektar di Seremban, Negeri Sembilan.

Pengerusi Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata perjanjian jual beli bagi pengambilalihan itu dilaksanakan antara unit syarikat, BSS Development Sdn Bhd dan Palipadu Sdn Bhd.

"Pembelian itu akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman bank.

"Pengambilalihan itu akan meningkatkan simpanan tanah perindustrian kumpulan kepada 465.6 hektar," katanya dalam kenyataan, Jumaat.

Pengambilalihan tanah itu dijangka selesai pada akhir tahun dan cadangan pembangunan akan bermula pada 2015, katanya.

Tanah itu terletak berhampiran taman perindustrian Sendayan TechValley (STV) di Seremban dan merupakan kemudahan tambahan taman perindustrian kepada kumpulan.

"Dua fasa sedia ada STV menerima sambutan dengan lebih 304 hektar dijual setakat ini, terutamanya kepada syarikat-syarikat pembuatan berteknologi tinggi utama dunia.

"STV menarik lebih RM3.8 bilion dalam pelaburan langsung asing sejak 2013," katanya.

Mohamad Haslah berkata tanah itu -- dikenali Sendayan TechPark (STP) -- merupakan tambahan yang tepat pada masanya kepada simpanan tanah perindustrian untuk menarik lebih ramai rakan kongsi antarabangsa.

"STV dan STP bersedia untuk menjadi hab kepada pembuatan bertaraf dunia, memudahkan pemindahan teknologi tinggi ke Malaysia dan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

STV merupakan komponen industri perbandaran bersepadu utama Bandar Sri Sendayan di Seremban Matrix Concept.

-- BERNAMA

logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment