Perdana Menteri Lancar PR1MA Di Seremban Sentral Selasa Ini

 


JELEBU, 7 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja di Negeri Sembilan dan melancarkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Selasa ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata majlis itu akan diadakan di Seremban Sentral berhampiran stesen kereta api Seremban di sini.

Mohamad berkata melalui projek itu, kerajaan akan membina 4,200 unit PR1MA.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jelebu di Dewan Besar Majlis Daerah Jelebu, Kuala Klawang, di sini hari ini, beliau berkata di tempat yang sama perdana menteri akan merasmikan majlis permulaan kerja bagi membangunkan semula stesen keretapi Seremban.

Sebelum itu, Najib akan mengadakan perjumpaan dengan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan di Wisma Umno di sini.

Mohamad berkata projek itu merupakan satu program pembangunan besar dan akan dijadikan sebagai sebuah pusat perumahan yang baik dengan dilengkapi bangunan perniagaan dan pejabat dengan stesen keretapi Seremban itu sendiri akan menjadi seperti stesen KL Sentral di Kuala Lumpur.

"Di situlah nanti bermulanya perubahan 'wajah' Seremban kerana selain daripada itu beberapa banyak lagi projek pembangunan akan dibuat di Seremban dan Port Dickson serta kawasan sekitarnya untuk kita memulakan satu projek apa yang dipanggil projek perluasan Lembah Klang yang besar.

"Melalui projek ini kita akan membantu kerajaan persekutuan mengurangkan kepadatan dan juga kesesakan yang berlaku di Lembah Klang khususnya di Kuala Lumpur," kata Mohamad.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment