Little India Di Seremban Hangatkan Sambutan Deepavali

 


SEREMBAN, 20 Okt (Bernama) -- Kewujudan 'Little India' disepanjang Jalan Yam Tuan dan Jalan Datuk Lee Fong Yee di sini bertepatan kerana ia merupakan kawasan tumpuan bukan sahaja bagi masyarakat India tetapi seluruh masyarakat di bandar ini untuk membeli-belah.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dengan jumlah penduduk berbangsa India yang ramai di bandar ini, kewujudan 'Little India' sedikit sebanyak dapat memberi kemudahan buat mereka membuat persiapan terutamanya menjelang perayaan Deepavali.

"Dengan adanya 'Little India' di tengah-tengah bandar Seremban ini, kaum India dapat membeli barangan seperti pakaian, makanan dan peralatan sembahyang di satu tempat sahaja tanpa perlu ke tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan mesra di bazar Deepavali Little India anjuran Majlis Kelab Bell Belia Tamil Negeri Sembilan di sini, Ahad malam.

Katanya bandar Seremban dijangka akan pesat membangun seiring dengan pertumbuhan ekonomi negeri sehubungan itu beliau berharap Majlis Perbandaran Seremban (MPS) akan meneliti perancangan pembangunan yang bersesuaian dengan bandar itu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Kelab Bell Belia Tamil Negeri Sembilan, K. Murali berkata bazar Deepavali kali ini merupakan tahun kelima penganjurannya.

"Bermula 17 gerai pada 2010, kini terdapat 109 gerai disediakan bagi masyarakat India dan penduduk setempat untuk membeli-belah menjelang Deepavali.

"Keutamaan adalah memberi peluang kepada golongan belia berniaga bagi meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Beliau berkata harga barangan jualan di situ adalah lebih murah berbanding di tempat lain kerana menyasarkan pembeli daripada golongan yang kurang berkemampuan dan sederhana.

Katanya selain harga yang berpatutan, lokasinya yang strategik merupakan satu daripada tarikan masyarakat untuk berkunjung ke tempat itu.

Beliau berharap matlamat untuk menarik lebih ramai pembeli pada tahun ini akan tercapai, di samping mengehadkan 100 gerai sahaja pada masa akan datang agar keadaan tidak menjadi terlalu sesak.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baharu L. Manickam dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Negeri Sembilan, Datuk Abdul Halim Abdul Latif.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment