Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peningkatan KDNK negeri pada tahun 2013 adalah sebanyak RM28.691 bilion berbanding tahun 2012 iaitu RM27.73 bilion.

“Saya juga menyatakan rasa gembira dengan pencapaian pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga September 2014 telah mencapai sebanyak RM2.001 bilion.

“Jumlah tersebut telah pun berjaya memenuhi sasaran nilai pelaburan tahunan iaitu RM1 bilion,” katanya beliau selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menurut Mohamad, kekuatan yang dimiliki negeri ini menjadikan kerajaan mampu mengharungi pelbagai cabaran ekonomi dan berjaya meningkatkan KDNK negeri pada tahun mendatang.

“Kekuatan itu juga perlu disokong dengan transformasi perkhidmatan awam di negeri ini bagi menjana kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan terus berada pada tahap terbaik. Transformasi pembangunan ekonomi negeri akan terus dilonjakkan pada tahun ini berteraskan kepada Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan 2011-2020,” ujarnya.

Menurut beliau, antara matlamatnya ialah meningkatkan kepada tiga sektor utama yang telah dikenalpasti penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negeri; meningkatkan produktiviti dan hasil subsektor yang berpotensi serta mengukuhkan mekanisme pelaksanaan bagi memastikan setiap pihak berkaitan sama-sama bertanggungjawab ke arah melonjak ekonomi negeri.

“Setiap jabatan perlu memainkan peranan mereka supaya sasaran yang dirancang dapat dilaksanakan,” ujarnya.