13,131 tandatangan diserah Menteri Besar mendesak Pusat Kualiti Alam di Sendayan dipindah

 
SEREMBAN – Setelah hampir sebulan mengumpul tandatangan orang ramai bagi mendesak Pusat Kualiti Alam di Sendayan di sini, dipindahkan, DAP Negeri Sembilan membuat penyerahan salinan tandatangan tersebut kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Penyerahan salinan 13,131 tandatangan itu dibuat selepas persidangan Dewan Undangan Undangan (Dun) hari kedua diadakan di sini, kelmarin.

Setiausaha DAP negeri, Cha Kee Chin berkata, usaha yang dilakukan itu bukan semata-mata kerana politik, sebaliknya demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran.

Menurutnya, perkara itu juga turut diketengahkannya pada sesi perbahasan sidang Dun (kelmarin) berikutan ia mempunyai kaitan tentang keselamatan dan kesihatan penduduk.

“Saya ditugaskan oleh Pakatan Rakyat (PR) dan DAP negeri untuk mengetengahkan isu ini yang memberi kegusaran kepada penduduk terutamanya selepas kejadian kebakaran besar yang berlaku pada 27 Februari lalu.

“Lokasi sedia ada yang dikelilingi dengan pelbagai projek pembangunan menyebabkan lokasi pusat pengurusan sisa buangan itu tidak lagi sesuai dan perlu dipindahkan,” katanya.

Beliau yang juga Adun Bukit Kepayang berkata, pihaknya juga sangat berbesar hati apabila Menteri Besar pada ucapan penggulungannya semalam turut mengucapkan terima kasih kepada DAP di atas usaha dilakukan bagi mengumpulkan tandatangan tersebut.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan negeri dapat mengemukakan perkara itu kepada kerajaan pusat yang bertanggungjawab memberi permit meluluskan projek tersebut dijalankan.

“Tandatangan itu sebagai bukti mandat daripada rakyat negeri ini yang mahukan projek tersebut dipindahkan ke tempat lain atau lebih baik lagi bukan di Negeri Sembilan.

“Walaupun dari parti yang berbeza, kami akan menyokong usaha kerajaan negeri membawa perkara itu kepada kerajaan pusat. Jika kita tidak membuat sebarang tindakan, projek tersebut akan terus kekal di situ dalam tempoh 15 tahun lagi,” katanya.

READ more: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dap-serah-13-131-tandatangan-1.382703
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment