Negeri Sembilan Beri Penekanan Pada Sektor Pertanian

 
SEREMBAN, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi penekanan dan perhatian dalam sektor pertanian dengan memberi nafas baru kepada sektor itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan agensi-agensi persekutuan untuk memastikan sektor pertanian dan perladangan dapat ditambah baik.

"Saya nampak bahawa industri pertanian ini sebagai industri yang boleh memberi pulangan yang baik selain dapat memberi keselamatan kepada negara kita, iaitu keselamatan makanan.

Kalau kita lihat negara maju pun, mereka merupakan negara yang mampu memenuhi sara hidup mereka sendiri bahkan mereka menjadi pengeluar makanan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) Pertubuhan Peladang Kawasan Seremban di Labu dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Hasim Rusdi.

Mohamad berkata di negeri ini masih banyak lagi tanah-tanah yang terbiar dan kolam ikan yang boleh dipulihkan.

"Nak berjaya dalam bidang pertanian, kita perlu melonjakkan ia kepada satu bidang yang boleh dijadikan perniagaan berjaya.

Kita tetap akan beri bantuan kepada petani tradisional dan kita juga perlu memodenkan sektor pertanian dan jadikan ia sebagai asas pertanian yang berjaya," katanya.

Sementara itu, Hasim berkata Lembaga Pertubuhan Peladang telah memperuntukkan RM1.06 juta bagi pembinaan 11 buah PPHP di negeri ini.

"Antara tujuan pembinaan PPHP ialah meningkatkan bekalan komoditi agro makanan melalui pengukuhan pengeluaran di bawah kendalian pertubuhan peladang kawasan bagi menangani manipulasi orang tengah.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk membantu para peladang memasar dan menjual sendiri produk mereka terus kepada pengguna seterusnya meningkatkan keuntungan petani dan pengeluar," katanya.

Hasim berkata pusat PPHP Seremban mensasarkan nilai jualan sebanyak RM100,000 tahun ini dengan sasaran pelanggan seramai 400 orang.

"Sejak mula dibuka pada 15 Mac yang lepas, sebanyak RM28,000 nilai jualan berjaya direkodkan dengan seramai 102 orang yang telah berlanggan," katanya.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment