KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan menempatkan 700 pegawai penguat kuasa di 29 lokasi bazar Ramadan bagi memantau peniaga terutama dari segi aspek kebersihan makanan di bazar terbabit.
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, jumlah penempatan pegawai itu akan ditentukan berdasarkan keluasan bazar yang ada.
Menurutnya, bazar Ramadan di Jalan Mahkota dan Jalan Stadium antara kawasan tumpuan ramai dan seramai 20 hingga 30 pegawai akan ditempatkan di situ.
“Pegawai penguat kuasa akan memantau keadaan sepanjang jualan bermula bagi memastikan syarat yang ditetapkan dipatuhi.
“MPK tidak berkompromi dari segi kebersihan dan peniaga perlu patuh pada peraturan yang ditetapkan seperti menggunakan bekas makanan bertutup, memakai apron, memakai penutup mulut selain aspek kebersihan makanan yang lain,” katanya kepada media selepas Penyerahan Permit Perniagaan Bazar Ramadan 2015, di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Mesyuarat Penuh MPK, Datuk Dr Abdul Wahid Abdul Manaf dan Datuk Wan Solihi Wan Hassan.
Zulkifli berkata, pihaknya juga akan mengambil contoh makanan setiap hari untuk memastikan tahap kebersihan makanan yang dijual.
Beliau berkata, pemeriksaan berterusan di bazar Ramadan yang ada akan dijalankan sepanjang masa sepanjang bulan Ramadan.- sinarharian
No comments:
Post a Comment