Dasar Perumahan Negeri Sembilan Berkuat Kuasa Hari Ini

 
SEREMBAN, 5 Jun (Bernama) -- Dasar perumahan Negeri Sembilan, yang antara lain mengandungi kuota pemilikan rumah oleh Bumiputera dinaikkan daripada 30 peratus kepada 50 peratus, akan berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar itu juga menetapkan 50 peratus pembangunan perumahan mesti dibina rumah mampu milik.

"Selepas melalui perbincangan dengan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) Negeri Sembilan, akhirnya dasar ini dapat dikuatkuasakan.

"Ia memberi kebaikan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk orang ramai, pemaju dan kerajaan negeri," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Bercakap mengenai dasar ini, Mohamad berkata, kerajaan negeri menaikkan kuota pemilikan rumah Bumiputera kepada 50 peratus disebabkan 70 peratus penduduk di negeri ini adalah Melayu dan Bumiputera.

Selain itu, ia juga bagi mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni dalam sesebuah kawasan perumahan, katanya.

"Kerajaan juga tidak mahu melihat sebuah keluarga mendiami rumah kos rendah satu bilik. Oleh itu setiap perumahan baru, 50 peratus mestilah terdiri daripada rumah mampu milik.

"Kita tidak mahu pemaju hanya mendirikan rumah mampu tengok," katanya.

Menurutnya, daripada 50 peratus rumah mampu milik itu, 15 peratus mestilah berharga RM80,000 ke bawah, 15 peratus lagi RM250,000 ke bawah dan 20 peratus lagi RM400,000 ke bawah.

"Lagi 50 peratus rumah yang bakal dibina itu terpulang kepada pemaju nak jual harga berapa," katanya.

Mohamad berkata, rumah berharga RM80,000 ke bawah, mestilah dalam bentuk kediaman bertanah dengan keluasan tidak kurang 20 x 60 atau 800 meter persegi, dan tidak akan diberikan diskaun Bumiputera.

"Ini kerana kemiskinan tidak mengenal kaum, jadi sesiapa yang layak akan membelinya dengan harga yang ditetapkan pemaju," katanya.

Selain itu, sebuah portal perumahan Bumiputera juga akan dibangunkan bagi memudahkan pembeli Bumiputera mencari rumah yang diidamkan.

"Ia akan memaparkan lot-lot Bumiputera yang belum terjual dan selepas ini diharap tiada lagi rungutan pemaju menyatakan rumah lot Bumiputera susah dijual," katanya.

Mohamad berkata, kerajaan negeri juga akan mencadangkan agar pemaju yang memajukan perumahan seluas 40.47 hektar, untuk menyediakan sistem pengangkutan awam.

"Pemaju mungkin boleh menyediakan sebuah mini bas di kawasan perumahan itu ke tempat menunggu bas yang dilalui oleh bas awam.

"Bas ini nanti pula akan membawa penumpang ke terminal bas atau stesen kereta api. Jadi tak perlu lagi bas awam memasuki kawasan perumahan," katanya.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment