Matrix Concepts Sasarkan Lebih Ramai Pelabur Ke Dalam Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi

 


KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd menjangka dapat menarik lebih ramai pelabur ke dalam taman berteknologi tingginya iaitu Sendayan TechValley (STV) dan Sendayan TechPark (STP) di Seremban.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin dalam satu kenyataan, berkata kemasukan pekerja profesional ke dalam taman-taman perindustrian itu akan meningkatkan permintaan untuk hartanah di Bandar Sri Sendayan (BSS), yang merupakan perbandaran utama syarikat tersebut.

"Kami sedang berusaha untuk menarik lebih banyak syarikat tempatan dan asing bagi melabur ke dalam hartanah industri kami. Kami berjaya menarik pelaburan langsung asing sebanyak lebih daripada RM4.0 bilion sejak 2010.

"Ini disebabkan taman industri kami mempunyai lokasi yang strategik, rangkaian infrastruktur yang unggul dan harga yang menarik," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini Rabu.

Mohamad Haslah berkata Matrix Concepts yang berpangkalan di Negeri Sembilan juga yakin jumlah organisasi berimpak tinggi yang hari ini semakin bertambah dalam operasi di negeri ini, akan menjadi pemangkin untuk mendorong permintaan yang lebih besar ke atas hartanah kediaman dan komersil di bandar BSS.

Sehingga kini, STV telah menarik 18 pelabur dari seluruh dunia seperti Jepun (Hino Motors, Akashi-Kikai, Nippon Kayaku), United Kingdom (Weir Group), Perancis (Messier-Bugatti-Dowty), Jerman (Schmidt+Clemens), Denmark (Fibertex) dan China (Hubei Dijian Constructrion).

Daripada jumlah tersebut, enam telah memulakan operasi di STV.

Sementara itu, syarikat tersebut sedang dalam proses pembinaan infrastruktur yang diperlukan untuk tanah perindustrian STP yang mempunyai keluasan 66.37 hektar dan akan siap untuk dijual pada separuh pertama 2016.

Gabungan nilai pembangunan kasar STV dan STP adalah kira-kira RM550 juta dan terdiri daripada 125.45 hektar tanah industri yang boleh dijual.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment