Penduduk rasa tidak selamat

 

SEREMBAN - Penduduk di Taman Bukit Kepayang di sini, berasa tidak selamat meskipun projek pelebaran lorong keempat Lebuhraya Utara Selatan (Plus) siap.

Ini berikutan Plus Malaysia Berhad masih belum menyelesaikan beberapa masalah seperti pagar berlubang, longkang tersumbat, semak dan kekotoran yang berlaku akibat projek pelebaran jalan raya berkenaan. 

Penduduk, Thomas, 54, berkata, lebih 10 rumah berada berhampiran dengan projek lebuh raya terbabit.

"Penduduk bimbang pagar berlubang akan memudahkan penjenayah memasuki kawasan perumahan melalui laluan Plus ini.

"Bukan itu sahaja, masalah longkang tersumbat dengan tanah juga perlu diselesaikan segera bagi mengelak berlakunya banjir apabila sistem perparitan terhalang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semak di kawasan pagar itu juga perlu dibersihkan kerana ia mengundang bahaya kepada penduduk apabila pernah berlaku kejadian ular masuk rumah.

"Selain semak, kawasan longgokan sampah dan tanah juga perlu dibersihkan kerana akan mengundang nyamuk aedes,” katanya.

Bagi penduduk yang mahu dikenali Salim, 46, berkata, rata-rata rumah penduduk berhampiran dengan projek berkenaan mengalami keretakan pada dinding.

"Pihak Plus ada datang melihat masalah ini tetapi pembaikan masih belum dilakukan sehingga kini. Kita berharap Plus bertanggungjawab kepada masalah ini kerana kami bimbang kalau retak ini semakin besar,” katanya.

Sementara itu, Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin berkata, beliau berharap Plus bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Penduduk juga berhadapan dengan masalah bunyi bising daripada kenderaan yang lalu lalang. Plus pernah berjanji akan membina pengadang bunyi dan kita berharap mereka menunaikan janji dengan segera,” katanya.

Katanya, aduan masalah itu sudah dikemukakan kepada Plus kelmarin dan berharap masalah dapat diatasi segera demi keselesaan penduduk. - Sinar Harian

logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment