Tiada lagi projek rumah kos rendah di N. Sembilan

 


SEREMBAN 18 Jun – Tidak akan ada lagi projek perumahan kos rendah di nege­ri ini memandangkan pelaksanaannya boleh mengakibatkan pelbagai kesan negatif selain tidak memberi keselesaan kepada penghuninya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kerajaan negeri sebaliknya akan memperbanyakkan projek pembinaan rumah mampu milik yang mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu serta ruang dapur yang selesa.

“Perkara ini (tidak membina perumahan kos rendah) telah diputuskan oleh kerajaan negeri dengan mengenakan syarat tertentu kepada pemaju perumahan mengikut yang ditetapkan dalam Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang sudah diluluskan baru-baru ini.

“Keputusan ini dibuat bagi mengelakkan pelbagai kegiatan sosial tidak bermoral dari terus berlaku dalam kalangan ahli keluarga yang tinggal di rumah tersebut,” katanya ketika berucap dalam majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Fasa Kedua di Taman Abok Jaya, dekat sini semalam.

Menurut Mohamad, rumah mampu milik Taman Abok Jaya merupakan antara bukti dan janji kerajaan dalam merealisasikan impian serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Kos pembinaan rumah ini bernilai hampir RM145,000, namun kerajaan ne­geri telah menawarkan harga jualan sangat rendah kepada penduduk yang layak iaitu RM52,000 hingga RM57,000 seunit.
“Ini kerana lebihan kos tersebut telah diserap melalui pembiayaan kerajaan dan pemilik hanya perlu membayar tidak melebihi RM200 sebulan bagi tempoh 15 hingga 20 tahun,” ujarnya.

Pada 2012, seramai 99 penduduk asal Taman Abok Jaya mendapat kunci rumah mampu milik masing-masing seperti yang dijanjikan kerajaan negeri apabila tanah mereka dibeli bagi pembinaan projek Jajaran Lingkaran Tengah yang menghubungkan bandar Seremban.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut membina rumah bandar bagi menggantikan kediaman lama mereka.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tiada-lagi-projek-rumah-kos-rendah-di-n-sembilan-1.104571#sthash.iuIHKtxq.dpuf
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment