Paras Air Semua Empangan Stabil Dalam Keadaan Baik- MB

 
KUALA PILAH, 24 Mac (Bernama) -- Paras air di semua enam empangan di negeri ini berada dalam keadaan baik, kecuali di empangan Gemencheh yang masih berada pada paras kritikal berikutan sungai berhampiran yang menjadi sumber air mentahnya kering.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bagi memastikan paras air di empangan Gemencheh kembali meningkat dan menyelesaikan permasalahan bekalan air terawat di daerah Tampin dan Rembau, kerajaan negeri mengambil inisiatif membina rumah pam di Sungai Jelai untuk disalurkan ke empangan itu.

Rumah pam yang terletak kira-kira 12.5 kilometer dari empangan itu mula beroperasi hari ini.

Ia mampu mengepam 12 juta gelen air Sungai Jelai sehari menggunakan tiga buah motor pam.

"Ini adalah rancangan jangka sederhana dan jangka panjang untuk kita pastikan paras air di empangan Gemencheh akan dapat kita urus dalam paras yang dapat memberikan bekalan yang mencukupi untuk loji rawatan air Gemencheh.

"Projek ini adalah untuk atasi isu berkenaan kekurangan bekalan air terawat di kawasan daerah Tampin dan Rembau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Pam Sungai Jelai dekat sini hari ini.

Selain empangan Gemencheh di Tampin, enam empangan lain yang beroperasi ialah empangan Talang (Kuala Pilah), empangan Triang (Jelebu), empangan Sungai Terip (Seremban), empangan Kelinchi (Kuala Pilah), empangan Ulu Sepri (Rembau) dan empangan Sungai Beringin (Rembau).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata empangan Gemencheh yang mampu menampung sejumlah 6,000 juta isi padu air dalam satu-satu masa hanya akan penuh dalam masa antara setahun empat bulan hingga dua tahun empat bulan bergantung kepada keadaan paras air sungai dan juga keupayaan motor pam.

Beliau berkata Loji Rawatan Air (LRA) Gemencheh yang menerima sumber air mentah dari empangan Gemencheh mampu membekalkan air terawat kepada kira-kira 16,500 penduduk di sekitar Tampin dan Rembau.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kerajaan negeri merancang untuk menambah bilangan empangan atau LRA ekoran projek Malaysia Vision Valley (MVV), Mohamad berkata pihaknya mempunyai beberapa perancangan untuk itu.

"Kami nak bina satu lagi LRA di sebelah loji sedia ada di Ngoi-Ngoi (di Seremban) yang mengambil kira MVV dan pertumbuhan pembangunan pesat di Seremban dan Port Dickson.

"Kami juga dah minta SAINS (Syarikat Air Negeri Sembilan) untuk mengkaji sama ada (terdapat keperluan untuk) kita buat empangan baharu di kawasan Jerang di Jelebu," katanya.

Menteri besar berkata kerajaan negeri juga turut mengkaji keperluan untuk membeli air mentah daripada Pahang bagi menampung keperluan pertumbuhan negeri.

MVV adalah cadangan pembangunan holistik melibatkan keluasan tanah 1,800 ekar (108,000 hektar) dari Nilai, Seremban hingga ke Port Dickson.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan dan Pengarah SAINS Wan Rasdi Wan Ismail.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment