Surau baharu siap bulan depan

 


SEREMBAN – Penduduk Kampung Sentosa, Paroi, di sini, menarik nafas lega apabila projek pembinaan surau baharu berharga RM400,000 bakal siap selewat-lewatnya awal bulan depan.

Pengerusi JKKK Sentosa, Azhari Mohd Nor Rafiqi berkata, surau baharu itu bagi menggantikan yang sudah uzur dan reput dimakan anai-anai.

“Sebelum ini surau al-Makmum berusia 35 tahun teruk dimakan anai-anai kerana struktur bangunannya menggunakan papan.

“Bagi memastikan keselamatan ahli jemaah, surau lama itu dirobohkan pada pertengahan tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima sokongan dan sumbangan daripada pelbagai pihak; antaranya kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan wakil rakyat Paroi agar pembinaan surau baharu itu dapat dijalankan.

“Projek ini bermula September lalu dan dijangka siap awal bulan depan. Sementara projek ini siap, penduduk terpaksa menumpang pusat ibadat di kampung berdekatan dan masjid berhampiran.

“Penduduk kampung begitu teruja selepas pembinaan surau ini berjalan lancar dan dijangka dapat digunakan dalam tempoh terdekat, lebih-lebih lagi pada Ramadan nanti,” katanya selepas penyampaian lawatan dan sumbangan oleh Adun Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid di tapak projek berkenaan.

Azhari berkata, apabila siapnya surau baharu itu nanti, pihaknya dapat meneruskan program pembangunan syiar Islam termasuk pusat pengajian al-Quran kanak-kanak dan remaja kampung itu.

Selanjutnya: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/surau-baharu-siap-bulan-depan-1.498733
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment