Sistem grid bekal air kepada penduduk

 


SEREMBAN 7 April - Negeri Sembilan membina sistem grid bekalan air bagi membolehkan setiap daerah dirangkaikan antara satu sama lain untuk mengelak pergantungan sumber air hanya daripada sesebuah empangan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hampir keseluruhan sistem bekalan air bersih di negeri ini kini tidak lagi diuruskan secara sendirian mengikut daerah tetapi disambungkan melalui rangkaian paip ke daerah lain.

Beliau berkata, pemasangan rangkaian paip itu membolehkan bekalan air bersih disalurkan kepada pengguna di sesebuah kawasan walaupun paras air empangan di situ turun di bawah paras kritikal.
“Pada waktu tertentu, kita akan buka paip ini untuk sambung bekalan air di kawasan yang memerlukan. Apa yang dibuat ini adalah memastikan kita dapat mengelak daripada terperangkap dalam situa­si yang kita tidak dapat berbuat apa-apa semasa bekalan air berkurangan.

“Kita tidak boleh kata bahawa negeri ini tidak mempu­nyai bekalan air mencukupi kerana terdapat kawasan tertentu mempunyai lebihan bekalan seperti Kuala Pilah dan Jempol yang mempunyai kapasiti loji baharu daripada 12 juta gelen kepada 25 juta gelen sehari, selain sumber air mentah tidak terganggu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, Empangan Gemencheh di Tampin adalah antara enam empangan di empat negeri yang kini dipantau berikutan bacaan paras air simpanannya berada di tahap kritikal ekoran cuaca panas yang berpanjangan.

Mohamad berkata, ada empa­ngan mempunyai simpanan air di bawah paras kritikal tetapi masalah itu tidak menyebabkan gangguan bekalan di kawasan berkenaan kerana Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) mendapat bekalan dari tempat lain.

“Contohnya kawasan Tampin dan Rembau, walaupun paras air di Empangan Gemencheh turun di bawah paras kritikal tetapi tidak berada dalam situasi yang memerlukan catuan dilakukan sebab kita dapat bekalan dari Loji Rawatan Air Sawah Raja dan tidak lama lagi mendapat bekalan dari grid Jempol-Kuala Pilah.

“Setiap hari saya pantau kerana perkara pertama yang saya lakukan setiap pagi ialah melihat laporan bekalan air. Jadi orang ramai tidak perlu bimbang kerana perkemba­ngan yang berlaku sentiasa dalam perhatian saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri menasihatkan para pesawah menunda tarikh memulakan penanaman padi berikutan sumber air yang terhad.
Jelasnya, terdapat lima kawasan sawah di sepanjang Sungai Muar antara Jempol hingga ke Gemas yang sepatutnya memulakan penanaman padi bulan lalu.
Tambahnya, jika penanaman padi hendak dimulakan, air sungai perlu diempang bagi mengairi kawasan sawah.

“Tetapi keutamaan kita pada masa ini ialah memastikan air su­ngai cukup untuk menjadi sumber bekalan air kepada para pengguna,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/negeri-sembilan/sistem-grid-bekal-air-kepada-penduduk-1.219151#sthash.lMxsKLF9.dpuf
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment