Rasuah: Bekas YDP PBT ditahan

 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran sebuah daerah di Negeri Sembilan bergelar Datuk kerana disyaki terlibat rasuah dan salah guna kuasa.

Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan SPRM ialah tiga kontraktor yang disyaki telah dianugerahkan beberapa projek melibatkan pejabat daerah dan Majlis Perbandaran di mana suspek pernah bertugas.

Menurut sumber, suspek berusia 63 tahun yang telah bersara itu ditahan di kediamannya di Seremban pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
"Suspek dipercayai telah melakukan kesalahan-kesalahan berkenaan ketika memegang jawatan pegawai daerah dan YDP perbandaran sejak September 2009 hingga Ogos tahun lepas.

"Berdasarkan siasatan SPRM dan pengumpulan maklumat awal, suspek dipercayai pernah bercuti bersama kontraktor-kontraktor tersebut di luar negara pada September 2015," katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut sumber, maklumat yang diperoleh menunjukkan pakej percutian suspek yang juga termasuk untuk bermain golf di Medan, Indonesia ditaja oleh kontraktor-kontraktor berkenaan.
"Sebuah kenderaan Toyota Camry telah dibelikan oleh kontraktor-kontraktor tersebut untuk kegunaannya," katanya.
Menurut bukti yang diperoleh, pembelian tersebut tidak dibentangkan dalam mesyuarat bajet dan perolehan.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan itu dan pihaknya sedang mengenal pasti beberapa orang lagi untuk membantu siasatan.

Beliau berkata setakat ini SPRM telah merampas dokumen-dokumen daripada kesemua suspek yang dipercayai berkaitan dengan siasatan SPRM.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009," katanya.
Pada Sabtu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki telah mengenal pasti beberapa penjawat awam yang masih berdegil bermain golf di luar negara dengan tajaan orang berkepentingan.

Sementara itu, menurut sumber, dua lagi kontraktor ditahan SPRM kerana disyaki telah dianugerahkan beberapa projek melibatkan pejabat daerah dan majlis perbandaran di mana suspek pernah bertugas.
"Kedua-dua lelaki berumur 40 dan 49 tahun itu ditahan di Negeri Sembilan pada kira-kira 7.30 malam ini.

Penahanan dua lelaki itu menjadikan kesemua tahanan seramai enam suspek termasuk seorang bergelar 'Datuk'.
"Kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk direman," katanya ketika dihubungi. - Bernama
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment