HSR untungkan orang Seremban

 

PERJALANAN yang singkat iaitu kira-kira 20 minit dari Seremban ke Kuala Lumpur bakal dinikmati orang ramai apabila Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura siap kelak.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek berkenaan akan memberi kemudahan kepada orang ramai yang tinggal di Seremban tetapi bekerja di Kuala Lumpur.

HSR adalah sebuah projek dua hala yang menarik dan dapat mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan Singapura serta membolehkan rakyat kedua-dua negara saling berhubung dengan lebih mudah bagi tujuan perniagaan serta santai.

Mohamad berkata, Seremban antara tujuh stesen HSR yang bakal dibina menghubungkan dari Kuala Lumpur dan berakhir di Jurong East, Singapura itu dengan jangkaan siap pada 2026.

“Menerusi projek HSR itu kelak, perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur cuma memakan masa tidak lebih 20 minit dan ia akan memudahkan orang ramai yang bekerja di ibu kota.

“Malah, mereka yang bekerja di Singapura juga boleh tinggal di Seremban kerana perjalanan ke negara berkenaan dijangka mengambil masa antara 60 hingga 90 minit,” katanya ditemui ketika menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali di kediaman Ketua Penerangan MIC Datuk V S Mogan, Rantau, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan perancangan reka bentuk di stesen HSR Seremban itu nanti, ia bakal menerapkan elemen tradisi rumah Negeri Sembilan yang digabungkan dengan elemen futuristik.

Katanya, kemudahan pengangkutan awam itu akan menjadi kemudahan bertaraf antarabangsa dan tercanggih di negara ini, selain bakal membuka kawasan pembangunan baru.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Konsep Rekabentuk Stesen HSR Kuala Lumpur-Singapura di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, beliau memberitahu kerajaan meluluskan Skim Keretapi bagi pelaksanaan HSR Kuala Lumpur-Singapura yang membuka laluan kepada amalan pemeriksaan awam selama tiga bulan bermula 1 November ini.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/274249/hsr-untungkan-orang-seremban

logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment