Misteri macam MH370

 


Seremban: “Sama seperti kehilangan MH370, siapa menyebabkan kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tetap tidak dapat diselesaikan.”
Demikian kata Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh sebelum melepaskan dan membebaskan dua guru daripada pertuduhan memiliki kertas soalan itu dalam telefon pintar tanpa kebenaran sah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, Subbarau @ Kamalanathan, 35, yang berdepan lima pertuduhan dan P Murugan, 37, (satu pertuduhan).
Mereka dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan terbabit.
Sebelum keputusan itu dibuat, Jagjit mengambil masa dua jam membacakan penghakiman sebanyak 102 muka surat.
Subbarau dan Murugan masing-masing dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Benar dan SJKT Ladang Lenggeng, Nilai, dekat sini, kelihatan tenang dan tersenyum dalam kandang tertuduh sebaik mendengar keputusan itu manakala ahli keluarga dan kenalan bertepuk tangan.
Mengikut pertuduhan, Subbarau didakwa memiliki melalui telefon pintar Samsung Galaxy Note 2 beberapa muka surat kertas soalan Matematik 035/1 dan 015/1, Sains 018, Bahasa Tamil penulisan 037 dan Bahasa Tamil pemahaman 036 yang mana tertuduh tidak berhak untuk menyimpannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8 dan 16 September tahun lalu jam 8 malam di sebuah rumah di Jalan Bukit Galena 13, Taman Bukit Galena di sini.
Sementara itu, Murugan dituduh memiliki melalui telefon pintar Lenovo beberapa muka surat kertas soalan Matematik 015/1 yang mana tidak berhak menyimpannya di Taman Sri Mawar, Mantin, dekat sini, antara 8 dan 17 September tahun lalu, jam 12.15 tengah malam.
Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan negeri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farid Mohd Mokhtar manakala Murugan diwakili peguam M Haresh dan Ramzani Idris, Subbarau pula diwakili M Kula Segaran.
Pada 5 November lalu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas tuduhan memiliki beberapa kertas soalan UPSR dalam telefon pintar tanpa kebenaran sah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44408#sthash.px9TotvR.dpuf
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment