Wanita tempatan, dua lelaki Nepal ditahan kes buang janin

 

SEREMBAN 29 April – Polis menahan seorang wanita rakyat tempatan serta dua lelaki warga negara Nepal bagi membantu siasatan penemuan satu janin yang cukup sifat dan masih dalam uri di sebuah pusat beli-belah di Seremban 2, semalam.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada pengawal keselamatan pusat beli-belah itu pada pukul 6.30 petang semalam berhubung penemuan satu janin berhampiran tandas.


Siasatan awal mendapati seorang saksi yang juga pekerja di pusat beli-belah itu memberitahu, dia telah masuk kerja untuk syif pukul 5 petang hingga 10.30 malam.

“Dalam tempoh bekerja itu, dia memasuki tandas wanita dan ternampak satu beg berwarna hitam di atas rak bilik solek dan tidak menyentuhnya.

“Selepas setengah jam kemudian, apabila tiada siapa yang mengambil beg itu, dia telah mengambilnya dan dibawa ke satu lorong sebelah tandas dan memanggil pengawal keselamatan untuk memeriksa,” katanya di sini hari ini.


Tambah Muhamad Zaki, setelah pengawal keselamatan membuka beg berkenaan, didapati ada janin di dalamnya.

“Janin itu cukup sifat dan masih dalam uri (uri belum pecah),” katanya.

Beliau memberitahu, janin berkenaan dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk siasatan lanjut.

“Semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diteliti dan pihak polis telah merekodkan keterangan saksi dan pekerja di situ untuk membantu siasatan,” kata Muhamad Zaki.

Katanya, wanita rakyat tempatan dan dua lelaki warga negara Nepal yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi secara sulit. - See more at: http://m.utusan.com.my/berita/jenayah/wanita-tempatan-dua-lelaki-nepal-ditahan-kes-buang-janin-1.85894#sthash.E6vGKkP2.dpuf


logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment