Kerajaan Negeri Sembilan Akan Bina Projek Loji Rawatan Air Sungai Ngoi-Ngoi 2

 
PORT DICKSON, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau yakin dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Negeri Sembilan akan menerima banyak faedah termasuk projek pembinaan loji rawatan air Sungai Ngoi-Ngoi 2 di Pantai, Seremban bagi membekalkan air yang mencukupi sehingga tahun 2030.

image: n9kini.com

Katanya kerajaan negeri akan membina projek loji rawatan air Sungai Ngoi-Ngoi 2 seperti yang dirancang kerana bekalan air yang ada sekarang hanya cukup sehingga tahun 2020 sahaja.

"Kita memerlukan bekalan air yang banyak kerana bekalan air yang ada sekarang hanya cukup sehingga tahun 2020. Jika siap projek ini, (Loji Rawatan Air Sungai Ngoi-Ngoi 2) nanti ia akan membekalkan sebanyak 400 juta liter sehari dan ia diambil kira bekalan cukup sehingga tahun 2030.

Projek ini perlu disegerakan dan ia memerlukan kos sebanyak RM350 juta hingga RM400 juta yang perlu dibuat bersebelahan dengan loji rawatan air Ngoi-Ngoi sedia ada. Saya yakin kita akan menerima banyak faedah kerana pembentangan pelan pembangunan negeri yang dibentangkan baru-baru ini (11 Mei) sudah pun diluluskan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini, hari ini.

Katanya kerajaan negeri serius dalam usaha untuk membina loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi 2 kerana ia penting untuk keperluan jangka masa panjang.

Mohamad berkata pelan pembangunan tiga segi emas iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Seremban dan Port Dickson, juga menjurus kepada keperluan air yang banyak.

"Kerajaan negeri meneliti sama ada kita mendapat geran kerajaan pusat atau kita lihat apa yang ada. Kos pengeluaran air juga meningkat dan kita cuba kaji agar tarif air dan kita akan melindungi tarif air yang membebankan semua pihak terutama rakyat. Jika kita tidak membina loji rawatan air Sungai Ngoi-Ngoi 2 ini, kemungkinan tahun 2020 kita sudah tiada air, ketika itu jangan salahkan saya," katanya.

Beliau berharap agar pembinaan loji rawatan air Sungai Ngoi-Ngoi 2 akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun 2016 kerana masa yang diambil untuk membina mungkin memakan masa setahun setengah hingga dua tahun.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment