MVV Rancangan Pembangunan Wilayah Tengah Berskala Besar - Mohamad

 
SEREMBAN, 21 Mei (Bernama) -- Malaysia Vision Valley (MVV) adalah rancangan pembangunan wilayah tengah berskala besar iaitu satu cadangan pembangunan pembesaran wilayah Lembah Klang (Kuala Lumpur), kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menjalinkan perkongsian pintar mewujudkan rancangan pelan pembangunan berskala besar membabitkan kawasan Negeri Sembilan Barat iaitu Seremban dan Port Dickson yang akan dibangunkan.

"Projek pembangunan berskala besar ini merupakan 'private driven initiative'. Ia adalah rancangan mengumpulkan beberapa pemilik tanah (ladang) yang besar dan mengadakan 'blue print' (rangka tindakan) pembangunan bandar moden yang besar," katanya pada sidang media selepas majlis penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di sini, Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan akan wujudkan MVV di Negeri Sembilan meliputi kawasan seluas 108,000 hektar semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur.

Katanya pembangunan bandar moden itu mempunyai lima kluster termasuk Seremban merupakan daerah pusat perniagaan manakala Nilai, Enstek dan Sendayan sebagai bandar pendidikan dan sukan.

Mohamad berkata kerajaan negeri juga merancang satu kawasan seluas 2,468.5 hektar bagi kawasan industri baharu bagi menampung permintaan besar dalam bidang itu.

"Di kawasan Jimah-Rantau satu lagi kluster iaitu kawasan pembangunan kediaman mampu milik, manakala di kawasan Galla-Mantin seluas 1,000 ekar pula akan diwujudkan 'the central park of Lembah Klang'.

"Untuk projek pembangunan mega ini, kerajaan pusat berperanan membantu membangunkan infrastruktur seperti jalan raya baharu dan sebagainya," katanya.

Katanya berlainan dengan pembangunan wilayah yang lain, MVV ini tidak akan ada sebarang perpindahan penduduk kerana ia membabitkan tanah estate persendirian, digabungkan menjadi satu konsortium pembangunan yang bersepadu.

Menteri Besar yakin kewujudan MVV itu, Seremban akan menjadi satu kawasan baharu Lembah Klang dan dalam masa 10 tahun kawasan tersebut akan berubah wajah.

Mohamad berkata jangka masa pembangunan MVV ialah mulai tahun depan hingga 2045 membabitkan jumlah pelaburan kira-kira RM641 bilion.

Pada majlis itu, 167 pesara polis di negeri ini menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) atas sumbangan mereka berkhidmat pada zaman darurat.

Pemberian anugerah itu sebagai menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan khidmat bakti mereka semasa tiga zaman darurat.

Tiga zaman itu ialah semasa Era Darurat Dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu dari 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960, Era Insurgensi Komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Dis 1989 di Tanah Melayu dan pada 1962 hingga 17 Okt 1990 di Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment