PLUS Luaskan Promosi Pembayaran Elektronik Di Plaza Tol Mambau Dan Lukut

 
PLUS Malaysia Bhd (PLUS) meluaskan promosi PLUSMiles Touch 'n Go dan SmartTAG berikutan pengumuman pelaksanaan kutipan tol secara elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson mulai 1 Jun ini.


Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata pengguna lebuh raya boleh membeli kad Touch 'n Go sedia berisi dengan nilai RM5 pada harga RM5 (kad adalah percuma) di setiap lorong tol di Mambau dan Lukut.

"Tambahan pula, orang awam boleh juga membeli SmartTAG secara tunai pada harga promosi RM104.95 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan) di Pusat Khidmat Pelanggan di Plaza Tol Seremban dan Senawang," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Pada masa ini harga seunit SmartTAG ialah RM127.

Noorizah berkata PLUS juga menawarkan rebat tol sehingga 20 peratus kepada pengguna lebuh raya yang membayar tol secara elektronik di Plaza Tol Mambau dan Lukut.

"Rebat tol 20 peratus diberikan kepada pengguna Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles Touch 'n Go dan SmartTAG di kedua-dua Plaza Tol mulai 1 Jun ini sehingga 30 Sept," kata Noorizah.

Beliau berkata, pada umumnya lorong Touch 'n Go dan SmartTAG masing-masing boleh memproses 500 dan 1,000 transaksi dalam sejam sementara lorong tunai hanya boleh memproses 400 transaksi sejam.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment