Mayat Kesemua Tiga Mangsa Lemas Di Bera Ditemui

 
BERA, 11 Jun (Bernama) -- Mayat dua lagi mangsa lemas dalam kejadian di Sungai Kampung Paya Panjang, Mengkarak di sini semalam, ditemui lewat petang tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat.


Pemangku Ketua Polis Daerah Bera ASP Sharanjeit Singh berkata mayat terakhir Zulpahdi Mohd Ali, 18, ditemui 7.15 malam kira-kira 250 meter dari tempat kejadian.

"Mayat mangsa kedua Mohamad Nor Ariff Saidi, 19, pula dijumpai 5.15 petang, 350 meter dari kawasan dilaporkan hilang," katanya ketika menghubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Paya Panjang, Bera. Zulpahdi merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Melaka, manakala Mohd Nor merupakan pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak.

Katanya terdahulu sebelum itu, pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat mangsa pertama Amirul Azizi Mahzan, 19, pelajar Kolej Risda Alor Gajah pukul 3.15 petang.

Sementara itu, Timbalan Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Arshad Abdullah berkata kerja-kerja mencari dan menyelamat membabitkan 41 anggota pelbagai agensi termasuk 15 anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri selain penggunaan sembilan bot.

"Pencarian dilakukan pada radius kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa mula-mula lemas, ia menghadapi sedikit sukar disebabkan arus sungai yang agak deras dan dalam selain ranting pokok yang banyak terdapat di dasar sungai," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Dalam kejadian 5.30 petang semalam kesemua mangsa dilaporkan sedang mandi bersama dua lagi sahabat mereka iaitu pasangan adik-beradik Rafizam Hanafi, 19 dan adiknya Rohaizam Hidayat, 18.

Namun dua beradik itu berjaya diselamatkan penduduk kampung yang secara kebetulan memukat di kawasan sungai berhampiran.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah petang tadi turut hadir mencemar duli melawat kawasan kejadian selain menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa.

"Jaga keluarga anda baik-baik, jangan biarkan mereka mandi sungai," titah baginda kepada masyarakat kampung berkenaan.

Dalam pada itu, bapa kepada Zulpahdi, Mohd Ali Hamid, 48, reda dengan pemergian anaknya sambil mengakui arwah seorang anak yang taat dan ringan tulang.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment