Tarikan terbaharu Taman 
Mini Malaysia, ASEAN

 


MELAKA 7 Jun – Taman Permainan Kanak-Kanak yang kini beroperasi di Taman Mini Malaysia dan ASEAN Ayer Keroh di sini mampu menjadi tarikan terbaharu pengunjung yang datang ke Melaka sempena musim cuti persekolahan ketika ini.

Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, tujuh jenis permainan baharu yang disediakan di taman itu dengan kos sebanyak kira-kira RM3 juta diharap menjadi pilihan pengunjung untuk datang ke Melaka selain menikmati keindahan alam yang terdapat di Taman Mini Malaysia dan ASEAN.

Katanya, beliau berharap pembukaan taman permainan tersebut menjadi inspirasi kepada pelbagai pihak untuk terus mempelbagaikan tarikan terbaharu di negeri ini supaya ia lebih menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Walaupun pembinaan taman permainan ini mempunyai banyak kekangan termasuk terbengkalai sejak sekian lama, namun saya berbangga kerana akhirnya ia dapat beroperasi hari ini untuk menarik pengunjung.

“Kemudahan yang disediakan dalam taman permainan ini adalah enam jenis permainan untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan kita jangkakan sebuah roller-coster akan dapat digunakan menjelang bulan hadapan,” katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata demikian ketika merasmikan taman permainan itu di Taman Mini Malaysia dan ASEAN Ayer Keroh, di sini semalam.

Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Asmah Abd. Rahman; Naib Pengerusi DMDI, Datuk Mohd. Jamil Mukmin dan Pengurus Besar Yayasan DMDI, Datuk Sharabuddin Kudus.
Taman Permainan tersebut yang mula dibuka sejak 1 Jun lalu menyediakan enam jenis permainan iaitu 2 Level Carousel, Mini Super Wave, Self Control Helicopter, Jumping Star, Miniture Ferris Wheel dan Bike On Track.

Kesemua enam permainan itu menalan kos sebanyak RM2 juta tidak termasuk roller-coster bernilai RM1 juta yang masih di peringkat akhir persiapan dan dijangka boleh beroperasi bulan hadapan.

Bayaran untuk setiap permainan adalah RM5, manakala jika pengunjung memilih untuk mencuba kesemua tujuh permainan itu, diskaun sebanyak RM5 akan diberikan iaitu hanya RM30.

Menurut Mohd. Ali, pihaknya menggunakan tenaga teknikal dan kepakaran dari China untuk membina taman permainan itu yang diharap dapat menjadi salah satu tarikan kepada pelancong yang datang ke Melaka.

“Saya berharap pengunjung dan pelancong dapat menggunakan kemudahan yang disediakan ini sambil menikmati percutian mereka di negeri ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/pelancongan/tarikan-terbaharu-taman-8232-mini-malaysia-asean-1.100213#sthash.zTyVp5KC.dpuf
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment