Fasa Pertama MyBAS Seremban Berjaya Meningkatkan Jumlah Penumpang 30 Peratus

 


SEREMBAN, 12 Dis (Bernama) -- Fasa pertama perkhidmatan myBAS di Seremban yang dilaksanakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mencatatkan peningkatan penumpang sebanyak 30 peratus daripada 20,761 kepada 27,257 penumpang setiap minggu, dengan purata kekerapan 30 minit pada waktu puncak am.

SPAD dalam kenyataan hari ini berkata fasa seterusnya akan melibatkan 20 laluan bermula operasi pada 31 Dis ini.

"Pada 15 November lepas, SPAD telah berjaya melaksanakan fasa pertama perkhidmatan myBAS di Seremban dengan menggerakkan 29 buah bas untuk mengaktifkan empat laluan utama yang meliputi 127.7km. Laluan-laluan ini menghubungkan Terminal 1 ke Desa Rhu, Terminal 1 ke Port Dickson, Terminal 1 ke Seremban 2, dan Seremban ke Bahau," menurutnya.

Inisiatif perkhidmatan myBAS di bawah kelolaan kerajaan melalui Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti atau SBST sedang dilaksanakan di Seremban secara berperingkat bagi menawarkan kepada pengguna peningkatan saling hubungan dan penambahan laluan.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan penuh SBST Seremban akan merangkumi 24 laluan (11 laluan utama dan 13 laluan pengantara) berbanding 19 laluan sebelum ini.

Ia juga akan meliputi jarak operasi sejauh 656km berbanding 459km sebelumnya dan ini akan turut melibatkan 110 buah bas setiap hari bagi menampung operasi laluan yang telah ditetapkan.

Perkhidmatan bas henti-henti masih menjadi mod pengangkutan utama bagi penumpang di luar Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. Program SBST telah direka khas bagi mengekalkan perkhidmatan yang penting ini serta memastikan adanya saling hubung dan perjalanan berjadual yang boleh diharapkan bagi aktiviti harian warga tempatan seperti untuk ke tempat kerja, sekolah dan kawasan pusat perniagaan.

Di bawah model perniagaan baharu ini, SPAD sebagai agensi perancang bertanggungjawab ke atas penyusunan rangkaian, kos operasi dan akan menerima hasil kutipan tambang.

SBST juga menawarkan laluan sosial baharu untuk kawasan-kawasan yang tidak mendapat liputan perkhidmatan.

SBST juga bertujuan untuk menghapuskan pertindihan laluan bagi memastikan liputan dan akses optimum kepada 80 peratus daripada penduduk.

Kerajaan pusat sedang melabur sebanyak RM100 juta bagi tahun pertama SBST dilaksanakan di lima bandar raya, bermula dengan Kangar dan Seremban dan diikuti oleh Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching.

Ini akan menjadi asas untuk pelaksanaan di seluruh negara pada tahun 2020, dengan kerjasama daripada kerajaan negeri masing-masing.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment