Dasar Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2015-2045 Dilancar Hujung Tahun - MB

 
SEREMBAN, 18 April (Bernama) -- Dasar Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2015-2045 dijangka akan dibentangkan pada hujung tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata dasar itu perlu bagi memperkasakan pembangunan di luar bandar sekali gus pelengkap kepada Dasar Pemodenan Negeri Sembilan 2015-2045 yang turut akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum hujung tahun ini.

"Saya dah minta semua ketua jabatan, pegawai daerah, pengarah-pengarah agensi supaya pungut semua masalah masyarakat di luar bandar. Saya dah minta UPEN (Unit Perancangan Ekonomi Negeri) sebagai sekretariat untuk kumpul isu-isu dan masalah masyarakat di luar bandar seperti masalah pengangkutan awam, belia, ekonomi dan pertanian.

"Semua ini akan kita kumpul dan kategorikan dalam kluster masing-masing... berasaskan kepada maklum balas masalah ini, saya akan kemukakan satu dasar baru pada hujung tahun ini, Insya-Allah iaitu Dasar Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2015-2045 pula," katanya dalam wawancara oleh NegeriFM dan Bernama selama satu jam yang disiarkan secara langsung di stesen radio NegeriFM dekat sini, hari ini.

Menurut Mohamad, dasar berkenaan digubal antara lain bagi memastikan golongan di luar bandar tidak terpinggir daripada arus pemodenan negeri.

"Saya tak mahu lagi orang panggil penghijrahan terpaksa di mana orang terpaksa berhijrah ke bandar kerana nak sekolah anak, tak ada pengangkutan awam nak ulang alik, belia tak punyai peluang untuk membina kehidupan di kampung.

"Ini antara dasar yang kita gubal dengan mengambil kira masalah yang akan kita selidik dan kaji. Daripada asas itulah nanti, Dasar Pembangunan Luar Bandar 2015-2045 akan berjalan seiring (dengan Dasar Pemodenan Negeri Sembilan 2015-2045)," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata bagaimana pun Dasar Pembangunan Luar Bandar itu kelak akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil contoh pelaksanaan Rancangan Malaysia (RMK). - Bernama
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment