Lima kematian akibat denggi di Negeri Sembilan

 

SEREMBAN - Seorang wanita berumur 24 tahun menjadi korban terbaharu kes denggi di negeri ini, sekali gus menjadikan jumlah kematian meningkat kepada lima orang setakat Sabtu lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zainudin Mohd Ali berkata, wanita dari Nilai itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah

pada 15 Februari untuk mendapatkan rawatan.

"Namun selepas dua hari dirawat, dia disahkan meninggal dunia kerana mengalami demam denggi yang teruk.

"Berdasarkan statistik dalam tempoh yang sama tahun lalu, terdapat enam kematian akibat denggi," katanya kepada media di sini hari ini.

Dr Zainudin berkata setakat Sabtu lepas, sebanyak 66 kes demam denggi direkodkan yang mana daerah Seremban mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 53 kes.

"Daerah lain iaitu Jempol sebanyak lima kes, Tampin, Port Dickson dan Jelebu masing-masing dua kes sementara Kuala Pilah dan Rembau pula masing-masing satu kes.

"Selain itu, terdapat 23 lokaliti wabak aktif dikesan setakat akhir minggu ini iaitu 22 di Seremban dan satu di Port Dickson. Namun buat masa ini tiada kes virus zika direkodkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan bagi memastikan kawasan kediaman mereka bebas daripada ancaman nyamuk aedes. - Bernama

logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment