MPN Akan Buka Pejabat Cawangan Untuk Beri Perkhidmatan Yang Lebih Baik

 

NILAI, 10 Feb (Bernama) -- Majlis Perbandaran Nilai (MPN) akan membuka beberapa pejabat cawangan pada tahun ini dalam usaha memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk, kata Yang Dipertuanya Datuk Abd Halim Abd Latif.

Beliau berkata pembukaan pejabat cawangan ini bagi memudahkan penduduk berurusan memandangkan pejabat MPN di Putra Nilai, terletak jauh dari kediaman mereka.

"Sebagai langkah awal, kita akan membuka pejabat cawangan di Taman Pinggiran Senawang. Kita ada empat unit kedai di situ untuk diubah suai menjadi pejabat cawangan MPN.

"Pejabat cawangan ini nanti diharap dapat memberi perkhidmatan kepada penduduk sekitar termasuk Taman Tuanku Jaafar, Taman Seremban Selatan, Taman Seremban Jaya dan Rantau," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pasukan Renjer MPN di sini, hari ini.

Katanya selain Taman Pinggiran Senawang, MPN juga merancang untuk membuka pejabat cawangan di Sendayan dan Nilai 3.

Sementara itu, katanya MPN juga akan membuka pusat komuniti untuk masyarakat menjalankan aktiviti mereka.

Katanya tanah rizab untuk balai raya di kawasan perumahan akan didirikan pusat komuniti.

"Mungkin Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh menggunakan pusat komuniti ini untuk aktiviti mereka. Kadang-kadang mereka hendak bermesyuarat tiada tempat dan dengan adanya pusat komuniti ini, mereka boleh menggunakannya.

Dalam perancangan, kita akan membuat pusat komuniti ini di Rantau dan beberapa tempat lagi," katanya.

Abd Halim juga berkata MPN sedang membina sebuah dewan orang ramai di Mantin yang boleh menampung 800 orang bernilai RM2.4 juta, manakala Dewan MPN sedia ada di Putra Nilai dinaik taraf untuk menampung 1,000 orang dengan kos RM2.4 juta.

"Kita merancang untuk membina tiga lagi dewan orang ramai termasuk di Pekan Nilai Lama dan Bandar Enstek," katanya.

Katanya kini terdapat 13 dewan orang ramai di kawasan MPN.

-- BERNAMA
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment