Siasatan menyeluruh kesan suspek kebakaran Pasar Besar Seremban

 


POLIS sudah merakam keterangan 80 individu dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan kes kebakaran Pasar Besar Seremban pada 9 September lalu yang berpunca daripada perbuatan khianat. Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya akan memanggil lebih ramai saksi termasuk pasukan bomba yang dipercayai dapat melengkapkan siasatan.

Setakat ini, katanya, polis sedang meneliti laporan penuh siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan yang diserahkan kepada pihaknya, Selasa lalu. "Berdasarkan laporan itu, polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk meneliti rakaman CCTV di kawasan sekitar yang berkemungkinan dapat membantu mengesan suspek. "Siasatan menjurus pelbagai aspek termasuk penemuan (cecair petrol), siapa yang melakukan dan motif kejadian serta kemungkinan berlaku perselisihan faham atau pergaduhan sebelum kejadian itu berlaku," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

 Thiew berkata, polis belum menemui petunjuk jelas mengenai suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Seremban di talian 06-6033222 atau mana-mana balai polis berhampiran. Terdahulu, bomba mendedahkan lima kesan cecair mudah terbakar dipercayai petrol ditemui di hadapan sebuah premis makanan dan minuman yang menjadi bukti perbuatan khianat sehingga menyebabkan tingkat atas Pasar Besar Seremban, musnah dalam kebakaran. Cecair berkenaan ditemui pasukan forensik JBPM serta unit Anjing Pengesan (K9) yang menunjukkan lokasi api bermula. Credit to: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/11/282424/siasatan-menyeluruh-kesan-suspek
logoblog
Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment